Tuesday, 16 September 2014

Kegunaan Komputer




Penggunaan komputer amat penting pada masa kini. Komputer membolehkan kita melakukan pelbagai perkara seperti belajar, berhibur, berkomunikasi, bekerja dan sebagainya lagi. Justeru, ramai orang ingin memiliki komputer untuk kegunaan mereka semasa di rumah atau di mana-mana sahaja.

Komputer membolehkan kita belajar seperti belajar secara dalam talian. Komputer juga memudahkan pelajar mendapatkan sumber rujukan menerusi laman sesawang yang boleh diakses daripada komputer yang dilengkapi sambungan internet. Komputer juga akan memudahkan pelajar menyiapkan tugasan mereka.

Kita boleh berhibur dengan lebih mudah dengan menggunakan komputer. Melalui komputer kita boleh menonton video, mendengar muzik, bermain permainan video dan sebagainya lagi. Dengan itu, kita akan lebih mudah untuk menenangkan fikiran setelah penat belajar atau bekerja.

Komputer juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain. Pelbagai aplikasi boleh kita gunakan untuk berkomunikasi seperti email, forum, `facebook` dan sebagainya lagi. Secara tidak langsung ini akan mengeratkan persahabatan dan persaudaraan antara kita.

Kebanyakan pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih mudah apabila menggunakan komputer . Misalnya, untuk menaip, menyimpan data atau maklumat dan mengira. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan pejabat seperti di bank akan dilengkapi dengan berpuluh-puluh komputer.
 
Kesimpulannya, komputer amat diperlukan pada masa kini kerana banyak memberi faedah kepada manusia. Walau bagaimanpun kita mesti mengawal diri daripada terlalu leka menggunakan komputer kerana ia juga boleh mendatangkan masalah seperti tidak fokus kepada pelajaran dan sebagainya.

Kebaikan Komputer



Komputer merupakan alat elektronik yang menyimpan mak­lumat pada cakera atau pita bermagnet, meng­analisisnya dan mengeluarkan maklumat selanjutnya apabila diperlukan. Penggunaan komputer semakin popular di dunia dewasa ini. Terdapat pelbagai jenis komputer seperti komputer peribadi, komputer meja, komputer mudah alih, komputer talapak dan sebagainya. Murid-murid terdedah kepada dunia komputer sejak peringkat sekolah rendah lagi.

Pendedahan ini memberikan banyak faedah kepada mereka. Antaranya, murid-murid boleh meluaskan pengetahuan dan minda mereka melalui penggunaan internet. Murid-murid dapat mencari maklumat terkini dengan cepat dan mudah. Oleh yang demikian, dapat membantu murid-murid dalam proses pembelajaran. Secara tidak langsung ini akan membantu murid-murid meningkatkan prestasi akademik mereka.
Di samping itu, komputer memudahkan tugas kita. Banyak kerja dan tugasan kini dilakukan dengan bantuan komputer, seperti kerja-kerja penaipan, pelukisan grafik, dan penyediaan laporan. Komputer membolehkan kita menyiapkan kerja tersebut dengan mudah dan cepat. Bagi murid-murid, penggunaan komputer dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan pengajaran sama ada di rumah mahupun di dalam kelas.

Penggunaan komputer dalam pengajaran akan dapat menarik minat murid-murid mengikuti pelajaran. Teknik kapur dan papan hitam yang digunakan pada hari ini mungkin akan membosankan para murid yang dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat ini. Komputer, dengan konsep multimedia, iaitu gambar, bunyi dan warna, mampu menarik minat para pelajar. Sudah pastinya, setiap murid akan berasa seronok dan ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Justeru, akan memudahkan murid memahami sesuatu pelajaran kerana mereka mendapat gambaran yang tepat tentang sesuatu topik yang dipelajari.

Komputer juga mempunyai program untuk memperkembang bahasa, contohnya tesaurus. Murid-murid boleh belajar makna perkataan dan penggunaannya. Justeru, murid-murid akan bijak menyampaikan idea. Penulisan karangan juga akan menjadi lebih mantap dengan penggunaan kosa kata yang lebih meluas.


Kesimpulannya, komputer sangat berguna dalam kehidupan pada hari ini. Guru-guru dan juga murid-murid perlu menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pembelajaran. Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak menggunakan komputer sejak dari kecil lagi agar mereka dapat menggunakan teknologi komputer sebaik-baiknya supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi masa ini.

Kepentingan Komputer


Unit pemproses komputer melaksanakan siri arahan yang membuatkan ia membaca, memanipulasi dan kemudian menyimpan data. Ujian dan arahan loncat membenarkannya untuk bergerak di dalam ruang program dan oleh itu melaksanakan arahan berlainan sebagai fungsi dari kedudukan semasa dari mesin itu atau persekitarannya.


Komputer merupakan mesin boleh atur cara yang direka untuk membaca dan melaksanakan urutan sesebuah senarai arahan yang membuatkan ia melakukan operasi aritmetik dan logik berdasarkan angka binari. Pada asasnya, komputer terdiri dari ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang untuk peyimpanan data; dan unit pemprosesan pusat yang berfungsi sebagai unit kawalan serta mengandungi unit logik aritmetik. Aksesori (contohnya papan kekunci, tetikus atau kad grafik) boleh dihubungkan supaya komputer dapat menerima input luar dan memaparkan output. 
 
Komputer boleh juga bertindak balas terhadap sampukan yang membuatkan ia melaksanakan set arahan tertentu dan kemudian kembali meneruskan apa yang ia sedang buat sebelum sampukan.

Komputer elektronik pertama telah dibangunkan pada pertengahan abad ke-20 (1940-1945). Dengan saiz seumpama sebuah bilik besar, ia memerlukan kuasa yang banyak seumpama beberapa ratus komputer peribadi (PC) moden.[1]


Komputer moden yang berasaskan litar bersepadu adalah berjuta, malah berbilion kali lebih berupaya berbanding komputer-komputer terawal, dan memerlukan ruang yang kecil sahaja.[2] Komputer ringkas adalah cukup kecil untuk dimuatkan dalam peranti mudah alih, dan komputer mudah alih boleh dikuasakan dengan bateri kecil. Komputer peribadi dalam berbagai reka bentuk adalah lambang Era Maklumat dan apa yang kebanyakan orang anggap sebagai "komputer". Pun begitu, komputer terbenam yang didapati dalam pelbagai alat, daripada pemain MP3 sehinggalah jet pejuang dan daripada permainan sehinggalah robot industri adalah yang paling banyak