Komputer merupakan alat elektronik yang
menyimpan maklumat pada cakera atau pita bermagnet, menganalisisnya dan
mengeluarkan maklumat selanjutnya apabila diperlukan. Penggunaan komputer
semakin popular di dunia dewasa ini. Terdapat pelbagai jenis komputer seperti
komputer peribadi, komputer meja, komputer mudah alih, komputer talapak dan
sebagainya. Murid-murid terdedah kepada dunia komputer sejak peringkat sekolah
rendah lagi.
Pendedahan ini memberikan banyak faedah kepada
mereka. Antaranya, murid-murid boleh meluaskan pengetahuan dan minda mereka
melalui penggunaan internet. Murid-murid dapat mencari maklumat terkini dengan
cepat dan mudah. Oleh yang demikian, dapat membantu murid-murid dalam proses
pembelajaran. Secara tidak langsung ini akan membantu murid-murid meningkatkan
prestasi akademik mereka.

Penggunaan komputer dalam pengajaran akan dapat
menarik minat murid-murid mengikuti pelajaran. Teknik kapur dan papan hitam
yang digunakan pada hari ini mungkin akan membosankan para murid yang
dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat ini. Komputer, dengan konsep
multimedia, iaitu gambar, bunyi dan warna, mampu menarik minat para
pelajar. Sudah pastinya, setiap murid akan berasa seronok dan ingin
melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Justeru, akan memudahkan
murid memahami sesuatu pelajaran kerana mereka mendapat gambaran yang tepat
tentang sesuatu topik yang dipelajari.
Komputer juga mempunyai program untuk
memperkembang bahasa, contohnya tesaurus. Murid-murid boleh belajar makna
perkataan dan penggunaannya. Justeru, murid-murid akan bijak menyampaikan idea.
Penulisan karangan juga akan menjadi lebih mantap dengan penggunaan kosa kata
yang lebih meluas.

No comments:
Post a Comment